Pengundi Kuala Besut Mula Dibanjiri Bantuan Dan Habuan

Sebagaimana selalu, setiap kali ada pilihanraya kecil maka turunlah pelbagai jenis bantuan dan habuan untuk rakyat. Menteri dan timbalan menteri juga berebut-rebut turun membawa pelbagai jenis buah tangan dan jajan. Ketika pilihanraya kecil jugalah diketahui banyak orang miskin, orang susah, orang tidak berumah, orang kelaparan, hidup melarat, tiada bekalan letrik dan air bersih serta pelbagai kepincangan lain dalam masyarakat.

Semua golongan yang terpinggir ini dikunjungi dan diberi bantuan untuk menunjukkan baik hatinya kerajaan yang ada.

Seolah-olah ketika pilihanraya kecil sajalah kerajaan menjadi sangat prihatin dan baik hati. Semua masalah cuba diselesaikan, apa kesusahan pun cuba dibantu. Kadangkala bantuan diberi tanpa diminta dan ianya datang seperti rezeki yang tiba-tiba turun dari langit.

Itulah fenomena biasa setiap kali pilihanraya kecil di Malaysia ini. Kuala Besut yang sedang hangat dengan kempen pilihanraya kecil pada 24 Julai ini juga tidak terkecuali, bahkan suasananya lebih membara daripada mana-mana pilihanraya kecil sebelum ini.

Pilihanraya kecil Kuala Besut penting kepada UMNO dan BN berbanding beberapa pilihanraya kecil sebelum ini kerana sekiranya keputusan 24 Julai nanti memihak kepada Pas, ia akan menjadikan kedudukan ADUN di Terengganu menjadi 16-16. Dewan Undangan Negeri Terengganu boleh jadi tergantung dan kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar tidak lagi selamat. Sultan Terengganu mungkin ada kuasa untuk memilih mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri, sama ada dari UMNO atau Pas sebagai Menteri Besar yang baru.

Kalau pun Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar, kedudukannya umpama di hujung tanduk, bila-bila boleh jatuh atau dijatuhkan. Dengan kedudukan 16-16, undang-undang dan Perlembagaan akan diuji keberkesanannya dan ia sesuatu yang baik untuk masa depan rakyat dan negara. Ia akan memberi ruang untuk mana-mana kelemahan dalam undang-undang dan Perlembagaan diperbaiki serta diperkemaskan. SPR yang selama ini lalai dan terlepas pandang dengan membiarkan jumlah kerusi menjadi genap, bukan saja di Terengganu tetapi di banyak negeri lain juga, bukan saja terpaksa mengakui kelemahan selama ini tetapi harus juga mencari jalan untuk menjadikan jumlah kerusi itu diganjilkan bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Tetapi sementara undang-undang dan Perlembagaan mahu diperbaiki, kedudukan 16-16 adalah tidak selamat bagi UMNO dan BN. Ia juga tidak selamat bagi Ahmad Said yang baru sepenggal duduk di kerusi empuk Menteri Besar, walaupun sebenarnya kedudukan 16-16 adalah pilihan yang terbaik untuk menjadikan seluruh rakyat Terengganu menjadi perhatian dan anak emas kerajaan selama lima tahun akan datang.

Disebabkan pentingnya Kuala Besut ini kepada UMNO dan BN secara keseluruhannya, maka pelbagai bantuan dan habuan dicurahkan untuk memastikan kerusi itu kekal ditangan BN. Sehingga ini durian runtuh paling besar yang diterima ialah pembinaan 72 unit pangsapuri tiga bilik di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut. Majlis pecah tanahnya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah pilihanraya kecil ini, hanya sehari selepas hari penamaan calon.

Betapa pentingnya kerusi Kuala Besut ini sehingga Ahmad Said ketika berucap di majlis itu berkata, pangsapuri itu mungkin diberi percuma kepada penduduk Kampung Pengkalan Atap, Besut yang sering dilanda air pasang dan bahaya ombak tinggi sehingga mencecah atap rumah.

Muhyiddin sendiri menyifatkan pemberian rumah secara percuma itu agak istimewa dan mereka yang terbabit seharusnya bersyukur kepada Allah SWT.

Betapa pentingnya Kuala Besut kepada Ahmad Said sehingga rumah pun mahu diberi percuma. Ini merupakan cara kempen yang bukan saja tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini, bahkan juga tiada mana-mana kerajaan di dunia ini yang berupaya memberi rumah percuma kepada rakyatnya.

Namun kerana pentingnya kerusi Kuala Besut, sejarah dunia telah tercipta di Terengganu. Selepas ini mungkin lebih ramai penduduk berpelung mendapat rumah percuma atas kepimpinan murah hati Ahmad Said ini.

Selain durian runtuh dalam bentuk rumah, habuan dan bantuan lain turut mulai melimpah. Ada yang menerima bantuan anak ayam kampung, anak kambing, anak lembu, makanan ternakan dan sebagainya daripada Kementerian Pertanian yang disampaikan oleh timbalan menterinya yang baru dilantik, Tajuddin Abdul Rahman.

Selepas ini, beberapa menteri dan timbalan menteri lagi akan turun ke Kuala Besut membawa buah tangan dari kementerian masing-masing. Meriahlah orang Kuala Besut dengan berbagai jenis bantuan dan habuan. Semuanya datang tanpa diminta dan tanpa perlu memgisi borang pun. Tidak juga ditanya sama ada layak atau tidak, pernah atau tidak memelihara ayam atau kambing sebelum ini tidak juga diambil kira, semuanya mahu diberi percuma.

Tidak cukup dengan bantuan dan habuan, jamuan makan minum, berbuka puasa serta bersahur juga meriah semeriahnya sehingga 24 Julai ini. Mungkin kalau bernasib baik dan pandai mengecek, duit untuk Hari Raya pun boleh dapat sekali.

Itulah kemeriahan di Kuala Besut sekarang ini.

Selain kerusi Kuala Besut penting untuk UMNO dan BN secara keseluruhannya dan juga penting untuk hidup mati Ahmad Said sebagai Menteri Besar, kemenangan di Kuala Besut turut signifikan untuk Muhyiddin yang menjadi Pengarah bagi pilihanraya kecil ini. Dengan kemenangan BN, ia akan melonjakkan nama Muhyiddin dan mengekalkan sokongan orang Melayu di luar bandar kepada UMNO dan BN.

Muhyiddin yang masih berteka-teki dan tidak mahu memberi jawapan pasti sama ada akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO atau sekadar mengekalkan kedudukan Timbalan Presidennya, tentunya mengharapkan keputusan di Kuala Besut ini mampu memberi markah tambahan kepadanya. Jika BN menang di Kuala Besut, bukan saja UMNO dan BN selamat, Ahmad Said terselamat dan Muhyiddin pun boleh menumpang rahmat.

Untuk mencapai semua matlamat yang berbeza-beza itu, menjelang hari pengundian nanti, bukan saja Muhyiddin dan Ahmad Said akan menumpukan lebih banyak masa di Kuala Besut, bahkan beberapa menteri dan timbalan menteri yang lain juga akan terus turun silih berganti membawa habuan dan buah tangan untuk pengundi di kawasan itu. (SH 14/07/2013)

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:27 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of