Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Perangai Tak Tahu Malu Seorang Setpol PM, Dah Kalah Pilihanraya, Tuntut Senator Pulak!!

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Najib telah mencipta sejarah dengan meletakkan 4 orang Setiausaha Politiknya sebagai calon pilihanraya.Ini merupakan jumlah teramai yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Mereka ialah Fatmi Che Salleh di Kota Bharu, Sahlan Ismail di Pokok Sena, Shafei Abdullah di Wangsa Maju dan Sufian Awang di Kuantan. Namun kesemua mereka telah kalah dan ditolak rakyat.

Di sebalik desakan ramai yang mahu Najib mengganti kesemua Setpolnya itu dan mengganti dengan orang baru, terdapat juga antara mereka ini yang sedang giat melobi untuk terus kekal berada di beranda kuasa di Jabatan Perdaana Menteri. Antaranya ialah Sahlan dan Sufian yang menjadi percakapan ramai dalam UMNO sedang berusaha ke arah itu.

Namun seorang lagi Setpol Najib di Kementerian Kewangan iaitu Shafie Abdullah lain pula perangainya. Setelah kalah dalam pilihanraya lalu di Wangsa Maju kepada calon PKR, Dr Tan Kee Kwong dengan kekurangan 5511 undi, beliau kini sedang mengatur strategi mendesak Najib agar memberikannya jawatan Senator pula.

Beliau melalui UMNO Wangsa Maju yang dipimpinnya sedang menyiapkan satu memerandum desakan kepada Perdana Menteri kononnya daripada akar umbi UMNO Wangsa Maju yang mahukan jawatan Senator diberikan kepadanya setelah kalah dalam pilihanraya lalu.

Pejabat UMNO Wangsa Maju kini sedang giat menghubungi Ketua-ketua cawangan, Ketua Pemuda cawangan, Ketua Wanita Cawangan serta Ketua Puteri Cawangan, selain AJK Bahagian 4 Peringkat untuk mendapatkan tandatangan sokongan kepada memorandum itu yang mahu dihantar dengan seberapa segera kepada Najib.

Kandungannya ialah tidak lain mahukan Shafie diberikan jawatan Senator atas alasan kononnya beliau merupakan pemimpin paling berwibawa dalam UMNO Wangsa Maju selama ini dan antara yang terbaik di Wilayah Persekutuan, walaupun hakikatnya kekalahan BN di Wangsa Maju lebih tinggi berbanding 2008. Pada 2008, calon BN Wangsa Maju Yew Teong Look kalah cuma 150 undi tetapi dalam pilihanraya lalu Shafie kecundang dengan 5511 undi.

Dengan tidak ada perasaa malu atas kekalahan itu, Shafie cuba menggunakan pendekatakan biasanya iaitu menghantar memorandum kepada Najib agar hasrat terpendamnya untuk bergelar YB tercapai jua akhirnya. Sejak berkecimpung dalam UMNO, Shafie memang diketahui sebagai pemimpin yang sering menggunakan kaedah menghantar memorandum untuk mencapai apa yang dihajatinya.

Ketika berbalah dengan Kamal Salih dulu pun, beliau menghantar memorandum, bahkan ketika mendesak pucuk pimpinan BN agar namanya dicalonkan dalam pilihanraya lalu juga menggunakan kaedah menghantar memorandum. Begitu juga ketika mendesak kerusi Wangsa Maju yang merupakan milik MCA sebelumnya agar diberikan kepada UMNO, juga kaedah memorandum digunakan.

Hakikatnya, menghantar memorandum adalah kegemaran Shafie dan sudah berpuluh memorandum yang didalanginya sejak bertahun dulu. Kali ini, sekali lagi kaedah memorandum digunakan.

Walaupun memorandum menuntut jawatan Senator ini kononnya kehendak akar umbi UMNO tetapi semua orang memahami ia adalah atas idea dan hasrat yang terpendam dalam hatinya semata-mata. Beberapa pemimpin cawangan sehingga ini dikesan keberatan untuk menurunkan tandatangan mereka dan pegawai di pejabat UMNO Wangsa Maju sedang berusaha memujuk dan merayu mereka terbabit kerana beliau memerlukan sokongan 100 peratus bagi memastikan ia membuahkan hasil yang diimpikan.

Seharusnya setelah kalah dalam pilihanraya lalu, Shafie berasa sedikit malu untuk menuntut jawatan Senator itu dan memberi peluang tersebut kepada pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO Wilayah Persekutuan yang tidak berpeluang menjadi calon seperti Ketua UMNO Bahagian Batu, Yahya Abdul Ghani, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mustapha Kamal dan lain-lainnya.

Tetapi nampaknya selagi beliau bergayut di bawah dagu Najib, semua ingin dibolotnya. Calon pilihanraya beliau mahu, Setiausaha Politik juga mahu, Senator pun beliau mahu dan tidak mustahil lepas ini jawatan Menteri Wilayah Persekutuan juga mahu dituntutnya dengan menghantar memorandum yang sama juga. (SH 06/06/2013)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

8 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
8
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x