Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

Najib Gagal Perbaiki Prestasi 2008, Semua Setiausaha Politiknya Kecuncang

Keputusan pilihanraya 2013 yang diumumkan keputusannya lewat malam tadi menyaksikan BN sekali lagi diberi mandat mentadbir negara ini  dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR cuma menang 89 kerusi Parlimen saja. Berbanding keputusan 2008 yang menyaksikan BN menang 140 kerusi ketika itu, kali ini memperlihatkan BN kekurangan 7 kerusi berbanding pilihanraya lalu.

Hakikat ini secara langsung memperlihatkan Najib telah gagal memperbaiki prestasi buruk 2008 itu. Jika dengan keputusan menang 140 kerusi, Pak Lah telah dipaksa melakukan peralihan kuasa, kedudukan Najib selepas pilihanraya ini masih belum cukup selamat lagi sebenarnya.

Macam-macam perkara boleh berlaku dalam minggu-minggu yang seterusnya ini, tambahan pula UMNO bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya hujung tahun ini.

Walaupun berjaya memenangi pilihanraya dan mengekalkan kuasa, beban berat Najib ialah kegagalannya memikat hati pengundi Cina. Tsunami pengundi Cina telah berlaku dengan menyaksikan di semua kawasan pengundi Cina, mereka menolak BN.

Najib sendiri dalam ucapannya selepas BN berjaya memperolehi kemenangan mudah malam tadi, menyedari hakikat itu dengan menganggapnya sebagai polarisasi kaum yang serius. BN bukan saja banyak kalah di kerusi yang ramai pengundi Cina, malah MCA yang dulunya menang 15 kerusi tetapi kali ini cuma tinggal 4 sahaja lagi.

Dengan keputusan pilihanraya ini juga terbukti bahawa Najib lebih lemah daripada Pak Lah. Beliau telah gagal mempamerkan dirinya lebih hebat berbanding bekas Perdana Menteri itu. Sekurang-kurangnya kata seorang bekas Ahli Parlimen, Pak Lah boleh tidur lebih lena sekarang ini.

Pilihanraya kali ini juga menyaksikan semua 4 orang Setiausaha Politik Najib yang bertanding telah tewas di kawasan masing-masing iaitu Fatmi Che Salleh di Kota Bharu, Sahlan Ismail di Pokok Sena, Shafie Abdullah di Wangsa Maju dan Sufian di Kuantan.

Berakhirnya pilihanraya ini, tumpuan kini beralih pula kepada pembentukan kabinet yang dijangka akan dilakukan pada minggu depan, Siapa bakal masuk dan siapa terkeluar akan terus menjadi perhatian umum.

Selepas itu pula, tumpuan juga pastinya akan beralih kepada pemilihan UMNO yang bakal diadakan hujung tahun ini. Dengan keputusan yang tidak bertambah baik yang dicapai oleh Najib, barangkali akan wujud tuntutan agar UMNO melakukan perubahan atau transformasi kepimpinan di peringkat tertingginya bagi menghadapi PRU 14 yang dijangka terus sengit.

Walaupun BN menang 133 kerusi tetapi undi popular lebih memihak kepada PR dengan  angka 5.5 juta berbanding BN 5.2 juta.

Ini menjadikan pemilihan UMNO merupakan sesuatu yang tidak kurang menariknya untuk ditunggu. (SH 06/05/2013)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

3 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x