Apabila tiba-tiba Mahathir mengingatkan para peneroka Felda supaya mengingati jasa kerajaan yang mewujudkan tanah rancangan itu dan tidak menggigit tangan pihak yang membantu mereka, ramai yang ketawa kecil dengan sikap bekas Perdana Menteri itu. Nasihatnya kepada peneroka Felda itu tidak lebih menunjukkan sikap terdesaknya yang menjadi wakil tidak rasmi UMNO dan BN bagi mendapatkan undi Melayu setelah pengundi Cina menunjukkan sikap yang nyata menolak BN yang telah mendakap kuasa selama lebih 54 tahun lalu.
.
Kenapa hanya sekarang beliau ingat kepada peneroka Felda sedangkan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, peneroka Felda begitu jauh di hatinya? Itulah antara pertanyaan sinis ramai orang mengenai sikap Mahathir yang memberi nasihat kepada peneroka Felda itu.
Apakah nasihat Mahathir itu mahu didengari oleh para peneroka Felda sedangkan selama ini Mahathir tidak pernah memperdulikan mereka. Apabila mengambil alih kuasa Perdana Menteri pada 1981, Mahathir telah membawa keluar Malaysia daripada negara pertanian kepada negara perindustrian. Beliau memperkenalkan dasar pandang ke timur, mewujudkan industri berat, merangka pembangunan yang hebat-hebat dan sentiasa mempunyai sikap mendongak ke langit.
Dunia pertanian dinombor-duakan. Orang kampung dan luar bandar bukan lagi keutamaan. Rasanya sepanjang menjadi Perdana Menteri juga Mahathir tidak pernah menjejak ke mana-mana tanah rancangan Felda untuk bertemu dan menyelami kehidupan para peneroka. Rumput sudah dilupakan dan tidak dipandang lagi.
Tidaklah salah mengalih kepada negara industri tetapi larian Mahathir ke arah itu sehingga beliau melupakan hakikat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini adalah orang kampung dan penduduk luar bandar yang mana peneroka Felda adalah sebahagian daripadanya. Beliau benar-benar menjadi Melayu yang lupa.
Hari ini apabila kedudukan BN cukup genting akibat penolakan rakyat, yang sebahagian besar sebab penolakan itu adalah berpunca daripada sikap Mahathir sendiri sepanjang memegang kuasa yang gemar mengamalkan sikap pecah dan perintah, tiba-tiba peneroka Felda menjadi penting kepada UMNO, BN dan Mahathir. Ketika gah berkuasa, nilai peneroka Felda dan pengundi luar bandar hanyalah sehelai kain batik dan kain pelikat saja, itupun hanya diberikan lima tahun sekali.
Undi peneroka Felda menjadi penting sehingga turut menjadi keutamaan Mahathir ialah kerana tanah rancangan Felda merangkumi 54 kawasan Parlimen yang mana dalam pilihanraya lalu, hanya dua daripadanya dimenangi oleh Pas. Undi peneroka adalah penentu dan kiranya tidak dijaga seumpama menatang minyak yang penuh, tidak mustahil daripada 54 kawasan itu, 10 atau 15 daripadanya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Jika itu berlaku, habislah kuasa BN. Dengan undi bukan Melayu tidak lagi memihak kepada BN, barulah kini undi peneroka Felda menjadi penting. Mereka bukan saja dijaga dan dibelai, malah sering diberi ganjaran demi ganjaran. Hanya setelah undi Cina tidak memihak, barulah undi Melayu dianggap bernilai.
Najib memang sejak sekian lama memberi perhatian kepada Felda. Sejak Timbalan Perdana Menteri, Felda dibawah kendalian kuasanya. Namun Najib juga penuh dengan masalah yang menyebabkan undi peneroka juga berpecah. Tetapi dengan Mahathir sendiri turut memberi perhatian kepada peneroka Felda, tidak lain membuktikan ketakutan yang amat sangat dalam dirinya akan kehilangan kuasa BN dalam pilihanraya akan datang ini. Daripada 28 juta rakyat Malaysia, Mahathir barangkali menjadi orang paling takut jika BN tumbang dan hilang kuasa. Sebabnya mungkin pelbagai dan hanya beliau yang tahu punca sebenarnya.
Kalau tidak kerana takut yang amat sangat, mana mungkin Mahathir mahu mencemar duli bertemu peneroka Felda. Dunia Felda bukan mainannya. Dunia Mahathir ialah projek mega, KLCC, KLIA atau membelasah Amerika.
Itupun pertemuan Mahathir dengan peneroka Felda itu tidak diadakan di tanah rancangan di hujung gunung atau jauh di pedalaman. Sebaliknya 3000 peneroka itu diangkat ke PWTC, di dewan yang nyaman dan sejuk untuk mendengar amanat dan nasihat daripada bekas Perdana Menteri yang selama ini mengabaikan mereka.
Kata-kata dan nasihat Mahathir supaya mengenang budi dan kemudian membalasnya dengan undi, mungkin didengari dan mungkin juga hanya ibarat angin lalu kepada sebahagian peneroka. Jika peneroka tidak mahu mendengar nasihat Mahathir itu, ia bukanlah salah mereka. Ia salah Mahathir sendiri.
Pertama, kerana Mahathir selama ini telah mengabaikan peneroka Felda dan lebih gemar memberi tumpuan kepada aspek lain. Walaupun Mahathir menyebut Felda ditubuhkan oleh kerajaan tetapi peneroka tidak terasa sentuhan Mahathir ada di situ. Sentuhan Mahathir lebih banyak di Langkawi berbanding tanah rancangan Felda. Malah Mahathir lebih kerap ke Amerika berbanding tanah Felda.
Jadi, bagaimana peneroka Felda mahu mendengar nasihat orang seperti itu.
Yang keduanya, Mahathir sendiri menunjukkan contoh tidak baik dalam konsep berbudi dan membalas budi ini. Catur politiknya sehingga menduduki kerusi Perdana Menteri penuh dengan amalan pecah dan perintah, buang kawan dan menolak orang yang menaikkannya. Lebih dari itu, UMNO yang berjaya menjadikannya Perdana Menteri bukan saja sanggup “dibunuhnya” malah kemudian ditinggalkan hanya kerana tidak bersetuju dengan seorang Perdana Menteri yang dipilihnya sendiri.
Di manakah sikap mengenang budinya?
Maka itu, amatlah malang jika masih ada peneroka yang mahu mengambil nasihat Mahathir itu sebagai azimat. (SH 20/02/2013)