Dilaporkan baru-baru ini tentang penolakan beberapa ADUN Kedah tentang ura-ura mahu menjadikan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah kiranya UMNO berjaya menawan negeri itu dalam pilihanraya akan datang. Secara terbuka mereka menyifatkan kedudukan Mukhriz sebagai anak bekas Perdana Menteri bukanlah suatu kelebihan baginya untuk mengisi jawatan itu.
Ada juga yang menyifatkan cabaran menyandang jawatan di peringkat negeri berbeza dengan Pusat dan oleh kerana Mukhriz sudah menjadi timbalan menteri sekarang, tidak semestinya beliau boleh sewenang-wenangnya dijadikan pemimpin tertinggi di peringkat negeri pula.
Ia nampaknya seperti amaran atau ancaman kepada UMNO sendiri.
Walaupun Mahathir dihormati oleh pemimpin UMNO Kedah dan jasanya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun sentiasa dihargai, tetapi penghormatan itu tidak meleleh kepada anaknya. Secara halusnya penolakan beberapa ADUN Kedah tentang hasrat menjadikan Mukhriz sebagai bakal Menteri Besar itu pastinya menjejaskan peluang UMNO untuk merampas kembali negeri itu jika masalah ini tidak diselesaikan dengan baik.
Malah jika Mukhriz bertanding juga di kerusi DUN nanti, tidak mustahil sabotaj akan berlaku daripada kalangan UMNO sendiri yang akhirnya menyebabkan kekalahan UMNO dapat diketahui lebih awal lagi.
Selain Mukhriz, ada dua lagi anak bekas Perdana Menteri berada dalam UMNO dan kerajaan. Mereka ialah Najib dan Hishammuddin.
Najib yang kini menjadi Perdana Menteri sedang berhempas-pulas mempertahankan jawatannya. Beliau bukan saja diasak oleh pembangkang dan pengundi yang mempertikaikan kepimpinannya yang disifatkan terlalu banyak kelemahan, bahkan dalam UMNO sendiri ramai yang menolak kepimpinannya.
Beliau bukan saja dianggap tidak mewarisi ciri-ciri kepimpinan ayahnya, Tun Razak yang pernah disanjung dan dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, malah juga dianggap berbeza langit dengan bumi dengan ayahnya itu.
Tidak perlu dihuraikan satu persatu kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh Najib, semuanya sudah banyak didedahkan kepada umum melalui pelbagai media yang tidak ada satu pun berani dinafikan secara konkrit olehnya.
Begitu juga dengan seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Hishammuddin yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO. Kelemahan dan ketidakmatangan beliau dilihat begitu ketara terutama dalam isu Bersih, terlibat dalam campurtangan urusan polis sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hassan dan ketidakyakinan rakyat yang menurun dengan mendadak terhadapnya atas pelbagai isu yang melibatkan polis, keselamatan awam, jenayah dan sebagainya.
Faktanya yang salah dalam menyerang DAP yang didakwa tidak menghantar laporan tahunan mesyuarat baru-baru ini sangatlah memalukan. Tidak wajar seorang Menteri Dalam Negeri bercakap sesuatu berdasarkan maklumat yang tidak betul dari pegawai bawahannya. Jika berlaku kes yang berkaitan keselamatan negara, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta yang salah itu pastinya boleh mengundang bahaya yang besar kepada negara.
Anak Hussein Onn itu dianggap terlalu banyak retorik dalam berbicara. Hujah dan cakapnya tidak pernah meyakinkan. Walaupun ayahnya seorang yang lembut ketika menjadi Perdana Menteri tetapi ketegasannya dalam memimpin negara dan UMNO diketahui oleh ramai orang yang pernah bekerja dengannya dan sering diperbualkan oleh kalangan veteran UMNO sendiri.
Hishammuddin bukan saja berbeza dengan ayahnya, bahkan dianggap sebagai Menteri Dalam Negeri yang paling lemah dalam sejarah negara. Berbanding Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie, Musa Hitam dan lain-lainnya yang pernah menyandang jawatan itu, Hishammuddin berada di kedudukan tercorot dari segi prestasinya.
Dengan Najib yang menerima kesan penolakan paling hebat, Hishammuddin di tempat kedua dan kini menjangkit pula kepada Mukhriz, hakikat yang nyata ialah jawatan sebagai pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Sepertimana orang tua-tua dulu selalu bercakap, seorang ulama atau mufti tidak dapat menjamin anaknya juga berjaya menjadi ulama atau mufti, begitulah sebenarnya dengan kerjaya sebagai pemimpin. Ia bukan seperti harta pusaka yang boleh diwariskan turun-temurun.
Najib mungkin bernasib baik dapat menyamai pencapaian ayahnya sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau tidak dapat menyamai wibawa, kepimpinan, kebijaksanaan, sanjungan dan penghormatan seperti ayahnya.
Hishammuddin dan Mukhriz juga mungkin mempunyai hasrat menyamai pencapaian ayah mereka masing-masing tetapi laluan tidaklah semudah yang disangkakan. Tiket sebagai anak bekas Perdana Menteri tidak menjamin karpet merah terbentang dengan sendirinya. Kedua-dua mereka juga sangat berbeza dengan ayah masing-masing yang pernah menjadi Perdana Menteri.
Bahkan kelemahan yang terpamer dalam kepimpiman Najib mungkin menjadikan laluan Hishammuddin dan Mukhriz menjadi bertambah sukar lagi. Ini kerana terbukti sudah bahawa ketiga-tiga anak bekas Perdana Menteri ini gagal menjadi sehebat ayah mereka. Najib sudah sarat dengan pertikaian, Hishammuddin dan Mukhriz pula mula terkesan perkara yang sama.
Kedudukan sebagai anak bekas Perdana Menteri bukan lagi jaminan yang mutlak untuk ahli UMNO dan rakyat menerima mereka sebagai pemimpin dengan mudah. (SH 22/02/2013)