Ekoran posting di blog ini beberapa hari lalu yang bertajuk “Setpol Najib Dilarang Jadi Calon Pilihanraya”, beberapa respon telah diperolehi berikutan daripada artikel tersebut. Selain ramai yang bersetuju bahawa Setpol dan Pegawai Khas kepada Najib tidak perlu turut sama sibuk untuk melobi menjadi calon, ada juga ahli dan pemimpin UMNO sendiri merasakan mereka perlu lebih menumpukan perhatian membantu Najib, UMNO dan BN daripada mengejar kepentingan peribadi.
Ini kerana apalah yang perlu dikejar sangat untuk menjadi wakil rakyat dan bergelar YB sedangkan UMNO dan BN sendiri belum tentu kekal mendakap kuasa yang ada selepas PRU 13 nanti.
Meskipun Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO melahirkan keyakinan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang dengan kemampuan mengekalkan 140 kerusi sedia ada serta merampas 20 kerusi lagi dariada 82 kerusi yang dimenangi pembangkang, ramai yang menganggap ianya sebagai lawak serta nyanyian waktu rembang petang untuk membuatkan Najib terbuai lena semata-mata.
Najib sendiri sebenarnya masih tercungap-cungap untuk mengekalkan kuasa yang ada, jika ada yakin menang pasti sudah lama Najib membubarkan Parlimen.
Mahathir sendiri sebelum ini meramalkan pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya paling sukar bagi BN, sementara Muhyiddin pula menyifatkan PRU 13 adalah ibu segala pilihanraya.
Beberapa pensyarah sains politik yang membuat kajian tentang pilihanraya juga meramalkan jika pun BN menang, hanya kemenangan paling tipis yang mampu dicapai. Kemenangan lebih daripada 140 kerusi yang dicapai dalam pilihanraya 2008 hampir mustahil.
Jika antara menang tipis dan hilang kuasa sahaja pilihan yang ada bagi UMNO dan BN, tentulah peranan Setpol dan Pegawai Khas Najib ini lebih berat lagi. Kepentingan UMNO dan BN harus lebih diutamakan berbanding ghairah mengejar glamour bergelar YB.
Antara sekian banyak Setpol dan Pegawai Khas Najib, Setiausaha Politik beliau yang turut ghairah berusaha menjadi calon pilihanraya ialah Shafie Abdullah. Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, kini sedang mengumpul segala kekuatan dan senjata yang ada bagi mencapai impian itu dengan cara “merampas” kerusi Wangsa Maju yang sejak 2004 lalu menjadi milik MCA.
Sebelum 2004 kerusi Wangsa Maju adalah milik UMNO tetapi sejak 2004 ia diberikan kepada MCA dan dalam pilihanraya lalu, calon MCA Yew Teong Look telah tewas kepada Wee Choo Keong daripada PKR dengan kekurangan 150 undi. Wee bagaimanapun kemudiannnya mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN.
Kekalahan calon MCA itu merupakan hujah terbaik UMNO untuk merampas semula kerusi tersebut tetapi dalam masa yang sama MCA berkeyakinan dapat memperbaiki prestasinya.
Keghairahan Shafie menonjolkan dirinya menjadi calon telah mengundang sakit hati Yew Teong Look dan MCA, lebih-lebih lagi Shafie merasakan kedudukannya sebagai Setpol Najib adalah “lesen besar” untuk mengambil alih kawasan itu daripada MCA.
Sehingga ini belum ada ketentuan siapa sebenarnya akan menjadi calon BN di Wangsa Maju. Tetapi perang poster antara Shafie dan Yew Teong Look sudah agak hebat dengan poster masing-masing bertebaran di kebanyakan simpang-simpang jalan di sekitar Wangsa Maju.
Poster Wee Choo Keong juga turut kelihatan mencelah di antara poster Shafie dan Yew Teong Look dan ini menggambarkan beliau juga turut menaruh harapan dipilih sebagai calon BN sebagai ganjaran berikutan kesediaannya meninggalkan PKR dan menyokong Najib.
UMNO Wangsa Maju memang sebulat suara mahukan Shafie sebagai calon, walaupun didapati jumlah Ketua UMNO Cawangan yang mengasingkan diri daripada UMNO Bahagian makin melebar jumlahnya. Selain Melayu berpecah kepada UMNO, PAS dan PKR, Melayu dalam UMNO Wangsa Maju sendiri turut berpecah.
Dalam pada itu, permusuhan dan saling bermasam muka antara Shafie dengan Yew Teong Look juga memungkinkan undi Cina melalui MCA tidak tumpah kepadanya, jika ditakdirkan beliau menjadi calon.
Berdasarkan komposisi pengundi Wangsa Maju yang berjumlah 65 ribu orang, hanya 53.20 peratus Melayu, Cina pula berjumlah 36.27 peratus manakala India berjumlah 8.68 peratus.
Ini bermakna, undi Cina adalah penting di Wangsa Maju. Tambahan pula calon PKR akan datang juga adalah Cina iaitu Dr Tan Kee Keong. Jika Shafie yang bertanding, dan beliau kekal suka bermusuh dengan MCA dan Yew Teong Look, cabaran untuk menang tentunya lebih besar.
Shafie tentunya sedar hakikat ini. Pada Jumaat lalu, beliau telah mengadakan program Walkabout Dan Sarapan Pagi di Taman Setapak Indah Jaya sebagai salah satu pendekatannya untuk mendekati pengundi Cina dengan menghantar jemputan kepada semua persatuan penduduk berbangsa Cina dalam kawasan Wangsa Maju.
Malangnya, tiada wakil penduduk Cina yang sudi hadir. Program itu gagal. Shafie dan Pejabat BN Wangsa Maju kemudiannya dimaklumkan bahawa wakil persatuan penduduk dan pengundi Cina tidak akan menghadiri program anjuran beliau kecuali jika mendapat kebenaran daripada Ywe Teong Look.
Isyaratnya jelas, pengundi Cina akan menolak BN jika Shafie yang menjadi calonnya. Kedudukan beliau sebagai Setpol Najib langsung tidak memberi merit pada pandangan pengundi Cina Wangsa Maju. Pengundi Cina dan MCA nampaknya mahukan status qou dikekalkan.
Dari sudut yang lebih luas, tindakan penasihat-penasihat Najib yang menyarankan agar semua Setpol dan Pegawai Khasnya dilarang daripada menjadi calon mula menunjukkan kebenarannya di Wangsa Maju.
Meletakkan Shafie sebagai calon lebih memungkinkan kekalahan daripada kemenangan, dan dengannya juga akan menyebabkan lagu nyanyian Ahmad Maslan kononnya BN boleh menang dengan majoriti dua pertiga dan menawan 20 kerusi pembangkang, kedengaran lebih sumbang di telinga Najib. (SH 25/12/12)