Hampir semua orang sekarang ini bercakap mengenai perpaduan Melayu. Di Parlimen, lobi hotel, kopitiam Cina, kedai kopi Melayu, rumah orang kaya, teratak miskin, tua muda, kelas atasan, golongan pertengahan dan rakyat biasa, jarang benar terlepas daripada membicarakan isu perpaduan Melayu ini.
Parti-parti politik apatah lagi, perpaduan Melayu kadang-kadang turut dijadikan modal meraih sokongan. Masing-masing menghuraikan makna perpaduan itu mengikut selera dan kepentingan yang mahu diperjuangkan. UMNO dengan perpaduan Melayu, Pas dengan perpaduan Islam manakala PKR lebih kepada perpaduan rakyat.
Hakikatnya, perpaduan dalam konteks apa pun, tidak pernah menemui titik mesra. Alasan untuk terus berbalah kadangkala lebih banyak daripada alasan untuk bersatu.
Untuk tujuan membuka minda dan juga atas keprihatinan terhadap perpaduan Melayu dan umat Islam di negara ini, tokoh politik berpengalaman yang juga Presiden Amanah Merdeka, Tengku Razaleigh Hamzah, pada Ahad 21 Oktober telah menganjurkan majlis perbincangan sambil makan tengahari mengenai topik perpaduan Melayu di kediaman beliau di Kuala Lumpur.
Syarahan disampaikan oleh Prof Kamal Hassan, seorang tokoh akademik yang tidak asing lagi di negara kita.
Lebih 100 tetamu hadir mendengar syarahan beliau yang terdiri daripada tokoh akademik, ahli politik, pemimpin NGO, bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan, pengamal media dan sebagainya.
Antara tetamu yang hadir ialah bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, bekas Pengarah Penjara, Zaman Khan, bekas Ketua Pengarah IKIM, Ismail Ibrahim, ahli akademik Firdaus Abdullah, bekas Pengerusi Bernama, Anuar Zaini, tokoh media, Kadir Jasin, bekas timbalan menteri, Abdullah Ahmad, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, Presiden Majlis Perundingan Melayu, Helmi Yahya serta ramai lagi.
Prof Kamal dalam syarahannya menghuraikan serba ringkas tentang perpecahan ummah yang berlarutan sekarang ini sehingga menimbulkan senario yang menyedihkan seperti kedudukan Melayu dan Islam tergugat, martabat Raja-Raja tidak lagi dihormati, meningkatnya suara liberal dan sebagainya.
Beliau juga menghuraikan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah mencapai matlamat perpaduan itu serta beberapa pilihan yang boleh dilakukan iaitu sama ada melibatkan penyatuan UMNO, Pas, PKR dan parti Islam lain, memperkukuh kedudukan Raja-Raja serta institusi Islamnya yang mencakupi bidang ekonomi, pendidikan, majlis agama Islam, Raja turun padang atau melalui pewujudan gabungan NGO-NGO yang kuat, bebas, berpengaruh serta boleh diterima ramai.
Prof Kamal juga secara sinis menyebut bahawa dalam pelbagai pihak bercakap soal perpaduan Melayu ini, ada yang bercakap secara jujur dan ada juga yang bercakap kerana ada muslihat tertentu.
Mengenai perpaduan Melayu dan kaitannya dengan parti politik, beliau menyarankan agar senario sekarang di mana parti politik yang menentukan perjalanan umat hendaklah diubah kepada kuasa umat yang menentukan perjalanan parti politik.
Lebih menyedihkan katanya, apabila perjalanan umat ditentukan oleh parti politik, sering berlaku kompromi dalam perkara tertentu sebagai strategi untuk mengekalkan kuasa atau mahu mendapatkan kuasa.
Ketika sessi soal jawab, meskipun rata-ratanya mengakui tentang kepentingan perpaduan Melayu dan umat di Malaysia, tetapi ramai yang skeptikal tentang kaedah dan masa yang sesuai untuk mewujudkan perpaduan itu.
Ini kerana mereka beranggapan menjelang piliharaya umum ini, mustahil sesuatu perbincangan yang konkrit dapat dicapai mengenai perpaduan Melayu kerana keghairahan untuk mempertahankan kuasa dan merebut kuasa sedang mengambil tempatnya.
Masing-masing kini sudah memalu gendang perang dengan keris sudah sedia terhunus. Oleh itu, kesedaran dalam ertikata yang sebenarnya tentang perpaduan itu mungkin hanya muncul setelah berlakunya malapetaka, darurat dan kerosakan yang banyak sehingga semua pihak akhirnya menyedari bahawa perpecahan selama ini hanyalah menguntungkan pihak musuh sahaja.
Wujud juga kritikan terhadap UMNO dan kerajaan yang menjadi penyumbang kepada kalutnya keadaan sekarang di mana ia antara penyebab generasi muda, pegawai kerajaan dan rakyat secara umumnya makin menjauhi kerajaan yang ada sekarang.
Meskipun tiada sebarang resolusi yang digubal atau ketetapan dicapai dalam majlis perbincangan di kediaman Tengku Razaleigh ini, ia sekurang-sekurangnya telah membuka kesedaran yang lebih tinggi mengenai perpaduan dalam konteks yang lebih ilmiah serta jitu.
Tidak mengapalah jika jalan ke arah perpaduan itu sentiasa menemui jalan buntu sebelum pilihanraya umum ini tetapi melalui input-input yang disampaikan oleh Prof Kamal dan luahan idea semasa sessi soal jawab serta inisiatif Tengku Razaleigh mengadakan majlis seumpama ini, jalan ke arah penyatuan itu tentunya lebih mudah untuk diteroka jika keadaan benar-benar memerlukannya nanti. (SH 21/10/2012)