Pengundi Kakitangan Awam Umpama Bom Jangka Bagi BN

Penamatan secara mengejut khidmat Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Abu Bakar Abdullah kini bukan saja menjadi isu hangat di kalangan 1.4 juta kakitangan awam, malahan menambahkan lagi pergolakan yang sudah sedia wujud. Ramai kakitangan awam melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara layanan yang diberi kerajaan terhadap Abu Bakar itu.

Pihak kerajaan pada mulanya hanya mengumumkan seolah-olah Abu Bakar bersara pada 1 Julai lalu setelah menabur bakti selama 35 tahun melalui pelbagai jawatan yang pernah disandangnya. Bagaimanapun dengan pengakuan Abu Bakar sendiri kemudiannya bahawa beliau sebenarnya ditamatkan perkhidmatannya, segera menimbulkan persoalan lain. Ditambah lagi, Abu Bakar yang berusia 57 tahun sudah pun menandatangani lanjutan perkhidmatan sehingga berusia 60 tahun.

Meskipun pelbagai desas-desus timbul di sebalik penamatan itu, antaranya kerana kerajaan kononnya tidak puas hati bagaimana Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebelum ini digubal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kakitangan awam peringkat bawah dan pertengahan dan akhirnya membuatkan Najib sendiri membatalkan skim tersebut. Pembatalan ini dianggap mencemar dan memalukan Najib.

Namun jika itu alasannya, tidaklah wajar Abu Bakar seorang yang dipersalahkan. Bekas KSN, Sidek Hassan juga wajar dipersalahkan kerana sudah tentulah beliau menelitinya dahulu deraf SBPA sebelum dipersembahkan kepada Najib dan kerajaan. Kenapa pula Sidek Hassan tidak dikenakan apa-apa tindakan, malahan selepas bersara diberikan pula jawatan sebagai Pengerusi Petronas yang bergaji mewah?

Ada juga khabar angin mengatakan Abu Bakar ditamatkan perkhidmatan kerana kesalahan tatatertib di bawah Perkara 49 Peraturan Pegawai Awam. Jika ini benar, kerajaan seharusnya mendedahkan kepada umum apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh Abu Bakar sehingga beliau dikenakan tindakan sedemikian.

Menambahkan lagi pergolakan dalam perkhidmatan awam ialah kerana penamatan Abu Bakar itu dilakukan tidak lama selepas Ali Hamsha dilantik sebagai KSN baru menggantikan Sidek Hassan.

Ali Hamsha yang memegang jawatan KSN dengan melompat serta melangkau beberapa pegawai kanan kerajaan lainnya, tentunya merupakan pilihan sepenuh hati daripada Najib. Jika beliau bukan pilihan yang dikehendaki sepenuh jiwa dan raga oleh Najib, sudah tentu seperti kebiasaannya KSN akan dilantik daripada kalangan KSU-KSU kementerian yang difikirkan paling berkelayakan.

Jika KSU paling kanan yang mahu dilantik sebagai KSN, pilihan paling ideal ialah KSU Perbendaharaan. Bagaimanapun KSU kementerian lain juga boleh dilantik menduduki jawatan KSN sebagaimana Abdul Halim Ali pernah yang pernah dilantik sebagai KSN hanya setelah beberapa bulan menjadi KSU Kementerian Luar. Tetapi dengan Najib mengetepikan semua KSU kementerian serta menolak senioriti dalam perlantikan KSN ini, sebaliknya memberikannya kepada Ali Hamsha yang hanya berjawatan Ketua Pengarah sebelum ini, tentulah ada sesuatu yang istimewa pada Ali Hamsha ini.

Kecekapan, kebijaksanaan dan kehebatan Ali Hamsha sebagai seorang pemimpin dan ketua kepada 1.4 juta kakitangan awam mungkin belum terbukti lagi tetapi gelora dalam perkhidmaan awam sudah pun berkocak sebaik saja beliau menduduki kerusi KSN dengan penamatan khidmat Abu Bakar itu. Barangkali inilah istimewanya Ali Hamsha disisi Najib.

Bagi kebanyakan kakitangan awam, alasan terhadap penamatan khidmat Abu Bakar itu haruslah dijelaskan dengan sepenuhnya dan tanpa ada perkara lain yang diselindungkan. Jika kerajaan gagal berbuat demikian, kerajaan mungkin dianggap berniat jahat dan mempunyai agenda tersembunyi melalui tindakan itu.

Bagi kakitangan kerajaan, jika tiada alasan kukuh diberikan atas penamatan khidmat itu, ia tidak lain kerana adanya arahan daripada Najib selaku Perdana Menteri yang tidak mahu lagi melihat Abu Bakar terus berada dalam perkhidmatan kerajaan.

Soalnya apa pula alasan Najb membenci bekas KP Jabatan Perkhidmatan Awam itu?

Dengan Najib sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihanraya umum, kegagalan menangani kegelisahan dan seterusnya memberikan jawapan yang memuaskan hati kakitangan awam, pastinya boleh mengganggu usaha mencapai kemenangan yang diimpikannya.

Dengan saiz kakitangan seramai 1.4 juta orang, kakitangan awam bukan saja penting bagi BN untuk meneruskan kemenangan tetapi juga memastikan segala dasar dan perlaksanaan kerajaan dapat berjalan dengan lancar.

Selama ini kakitangan awam adalah golongan yang setia kepada kerajaan tetapi tidak mustahil isu penamatan khidmat Abu Bakar ini akan menyebabkan undi kakitangan awam berpecah-pecah. Ditambah dengan segelintir pihak yang tidak puas hati dengan perlantikan Ali Hamsha, bilangannya mungkin bertambah dan di luar jangkaan Najib sendiri.

Sejak bertahun-tahun kakitangan awam sebagai agen pelaksana dasar-dasar kerajaan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan UMNO sebagai parti pemerintah meskipun mereka mungkin menyaksikan pelbagai perkara yang tidak disenangi yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik sama ada yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi kerajaan dan sebagainya.

Tetapi dengan dunia sedang menuntut ketelusan dan keterbukaan di samping berlakunya kematangan politik yang menyaksikan sudah wujud alternatif terhadap BN yang telah memerintah lebih 55 tahun lalu, senario kakitangan awam juga sebenarnya mulai berubah. Mereka tidak lagi statik dan turut sedia untuk berubah.

Dalam masa yang sama, penghijrahan beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai Pas dan PKR sejak akhir-akhir ini, turut menimbulkan rangsangan secara senyap kepada kakitangan awam untuk turut serta melakukan perubahan demi kebaikan negara.

Di mana-mana sektor kerajaan sekarang ini, suara perubahan nyata kedengaran. Malahan kadang-kadang kenyaringannya tidak lagi disembunyikan.

Dengan pelbagai pergolakan dan masalah silih berganti dalam perkhidmatan awam akhir-akhir ini, undi kakitangan kerajaan yang selama ini dianggap sebagai “simpanan tetap” bagi UMNO dan BN, kali ini mungkin bertukar menjadi “bom jangka” yang boleh memberhentikan terus tempoh hayat Najib, UMNO dan BN. (SH 03/07/2012)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 1:26 pm

6
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
Anonymous Recent comment authors
  Subscribe  
newest oldest
Notify of
Anonymous
Guest
Anonymous

Seorang kawan memberitahu saya bahawa kakitangan awam bawahan dan pertengahan sangat marah kepada Tan Sri ABA kerana isu SBPA.Mereka menuntut supaya SBPA dibatal atau diperbaiki, tidak sampai memecat TSABA. Orang politiklah yang menuntut TSABA dipecat. Kini, kakitangan lebih marah kerana anggota perkhidmatan kerajaan diperlakukan sedemikian. Walaupun TSABA dari kumpulan Pengurusan Tertinggi dari kumpulan PTD, para kakitangan lain dari PTA sangat marah atas pemecatan ini. Sepatutnya beliau diberi opsyen persaraan awal untuk mengelakan kehilangan faedah berpencen.Sekarang sudah hancur, sumbangan TSABA telah hangus jadi abu sungguh. Walaupun beliau silap semasa membentuk skim dulu, dia tidak sepatutnya diaibkan begitu rupa. Ada terdengar di… Read more »

Anonymous
Guest
Anonymous

Sebenar nya padan muka si Abu Bakar ni. Mediocre finally shown the exit. Saya rasa pekerja awam tak marah pun pada Najib malahan mentertawakan Si Abu Bakar ni kerana membuat perancangan untuk kepentingan sendiri dalam isu SBPA dan lepas tu berangan nak jadi KSN. Mereka yang tahu si Abu Bakar ni rata rata menyatakan padan muka dia. Elok dia nak buat isu politik silap hari bulan dia yang kena. Tapi kalau dia rasa betul saman je la kerajaan sekurang kurang nya buat judicial review.Nak bagi tahu Abu Bakar ni kalau dulu awak juga bersekongkol menginayakan orang maka janji ALLAh berlaku.… Read more »

Anonymous
Guest
Anonymous

Gaji premier merupakan cadangan PEMANDU di bawah DSIJ dan KSN yang bertanggung jawab di dalam semua meeting SBPA. Perkhidmatan awam khususnya golongan P&P amat marah apabila KPPA diperlakukan sedemikian rupa, beliau merupakan antara ketua yg sgt dihormati di kalangan pegawai. sekiranya beliau dipersalahkan kerana SBPA, 33 tahun perkhidmatan beliau yg cemerlang tidak perlu diperlekehkan semata2 kerana isu SBPA. Yang menyakitkan hati penjawat awam, yang betul2 bersalah dijadikan orang minyak, di mana keadilannya.

Anonymous
Guest
Anonymous

Tuan, 1. 2 pembahas sebelum ini mengatakan bahawa tan Sri Abu Bakar pernah menjadi KSU Kementah. Baru-baru ini SUARAM memaklumkan bahawa Mahkamah Peranchis mempunyai dokumen dimana rahsia kerajaan mengenai assesment tentang pembelian kapalselam oleh TLDM telah dijual oleh sebuah syarikat kepada sebuah pembida kontrak kapalselam dengan harga RM 100 juta lebih. 2. Bagi mengelak rakyat membuat pelbagai andaian, eloklah Najib menjelaskan dengan terperinci sebab mengapa Tan sri Abu bakar dipecat dari jawatan KP JPA. Penjelasan ini juga penting bagi meredakan rebellion yang mungkin timbul dikalangan penjawat awam dalam PRU 13 nanti. 3. Yang menjadi kemusykilan ramai, mengapa Najib perlu memecat… Read more »

Anonymous
Guest
Anonymous

Mungkinkah sebab Tan Sri ini pernah jadi KSU Kementerian Pertahanan, banyak dokumen rahsia terkeluar?

Anonymous
Guest
Anonymous

Bukankah Tan Sri Abu Bakar ini pernah menjadi KSU di Kementerian Pertahanan? Sudah pasti banyak rahsia yang bakal diterokai.