Kisah Terlampau Pegawai Najib Nak Bergelar YB

Dalam suasana semua orang sedang menunggu dengan penuh debar ketibaan tarikh pilihanraya umum, pegawai-pegawai Najib tidak terkecuali dilanda fenomena yang sama. Tetapi mereka bukan beria-ia mahu membantu Najib dan UMNO memenangi lebih banyak kerusi tetapi lebih ghairah untuk memastikan diri sendiri terpilih sebagai calon pilihanraya.

Salah seorang pegawai Najib yang dilihat begitu ghairah untuk menjadi calon dan bergelar YB ialah Shafie Abdullah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju. Kerusi Parlimen Wangsa Maju sebelum ini ditandingi oleh calon dari MCA iaitu Yew Teong Look tetapi beliau telah kalah kepada calon PKR, Wee Choo Keong dengan 150 undi dalam pilihanraya 2008 lalu. Wee bagaimanapun kini mengisytiharkan dirinya sebagai Bebas.

Shafie memang diketahui sejak awal berhasrat merampas kerusi Wangsa Maju daripada kouta MCA. Ketika beliau bertanding sebagai Ketua Bahagian pada 2009, salah satu umpan kempennya ialah dengan meyakinkan UMNO cawangan-cawagan bahawa beliau ingin mengembalikan kerusi Wangsa Maju kepada UMNO melalui kedudukannya sebagai orang yang dekat dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

“Jika saya menang Ketua Bahagian, saya akan berbisik kepada Najib supaya kerusi Wangsa Maju ini dikembalikan kepada UMNO,” begitulah lebih kurang ayat yang pernah dilafazkan oleh Shafie dalam mesyuarat AJK Bahagian ketika itu.

Selepas menang Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, keghairahannya bertambah laju apabila beliau kemudiannya berjaya “merampas” jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju pula daripada Yew Teong Look. Dengan kedudukan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN sekaligus, igauan untuk menjadi calon pilihanraya semakin terbayang di depan mata. Sejak itu hubungan UMNO dan MCA menjadi tegang malahan MCA sehingga hari ini masih memboikot mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh Shafie atas nama BN Wangsa Maju.

Tetapi semua itu tidak menghalang Shafie dariada terus mengidam untuk menjadi calon di Wangsa Maju meskipun beliau sedar bahawa tanpa sokongan MCA dan pengundi Cina, harapan untuk menang amat tipis sekali.

Tidak cukup setakat mesyuarat UMNO Bahagian Wangsa Maju memutuskan beliau sebagai penama tunggal yang dipersetujui untuk dijadikan calon dalam pilihanraya umum akan datang, Shafie nampaknya bergerak lebih “proaktif” dengan menyediakan memorandum untuk dihantar kepada Najib pula.

Memorandum kepada Najib itu mengandungi intipati yang antara lainnya berupa desakan agar Shafie dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya umum akan datang. Ini bererti meminta Najib agar menggantikan kerusi Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini ditandingi oleh calon MCA kepada calon UMNO. Semua ketua-ketua UMNO cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri telah diminta menandatangani memorandum yang telah disediakan oleh pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju itu.

Selain diminta menandatangani memorandum, ketua-ketua UMNO cawangan itu diberitahu bahawa satu pertemuan dengan Najib sedang diatur untuk mereka menyampaikan secara terus hasrat sebagaimana yang terkandung dalam memorandum tersebut.

Ini bemakna untuk mencapai hasratnya menjadi calon, Shafie bukan saja akan berbisik dengan Najib, memutuskan namanya dipilih melalui mesyuarat AJK Bahagian, menghantar memorandum tetapi juga sehingga sampai ke tahap membawa ketua-ketua cawangan bercakap secara terus dengan dengan Perdana Menteri. Hebat kan!!

Selain itu, untuk memastikan beliau beroleh kemenangan jika dipilih sebagai calon, Shafie juga melalui kedudukannya sebagai pegawai kepada Najib telah meminta kepada pihak-pihak tertentu agar kira-kira 3000 undi pos daripada kawasan Setiawangsa dipindahkan ke Wangsa Maju. Sebelum ini kawasan Parlimen Setiawangsa mempunyai hampir 13,000 undi pos.

Ternampak bahawa jika dipilih sebagai calon, Shafie hanya ingin menggunakan jalan pintas untuk mencapai kemenangan. Beliau nampaknya tidak mahu mengambil pendekatan berbaik-baik dengan MCA untuk mendapatkan undi kaum Cina walaupun diakui bahawa peratusan pengundi antara Melayu dan Cina hampir seimbang.

Dalam konteks yang lebih luas, tindakan tidak mahu berbaik dengan MCA ini bukan saja mencabuli dasar permuafakatan dalam BN tetapi juga merupakan “duri dalam daging” terhadap gagasan 1Malaysia yang sedang diperjuangkan oleh Najib. Bagaimana BN mahu berjaya dalam pilihanraya dan 1Malaysia mahu dicapai jika dasar itu dicabuli oleh mereka yang rapat dengan Najib sendiri semata-mata keghairahan yang terlampau untuk bergelar YB.

Lebih dari itu, dengan kedudukan UMNO yang masih tercungap-cungap untuk meraih sokongan rakyat dan Najib sendiri yang entah kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau tidak selepas ini, keghairahan yang ditunjukkan oleh pegawai Najib sendiri untuk menjadi calon dan bergelar YB, amatlah tidak wajar dan memalukan. Dengan pelbagai masalah yang melanda UMNO dan kerajaan serta kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui Bersih 3.0 baru-baru ini, jelas bahawa UMNO dan BN sedang melalui jalan penuh onak dan duri dan mungkin juga mengheretnya ke gaung kekalahan. Ditambah dengan keghairahan segelintir pegawai Najib ini, kekalahan UMNO dan BN mungkin lebih teruk daripada yang dijangka.

Sebagai pegawai kepada Najib, mereka sepatutnya lebih bekerja keras untuk membantu Najib dan memastikan kemenangan UMNO serta BN dalam pilihanraya akan datang daripada memikirkan soal nafsu syahwat peribadi. Tumpuan yang terlampau kepada agenda peribadi hanya akan membuatkan UMNO dan BN tersungkur akhirnya.

Apalah guna terpilih sebagai calon tetapi akhirnya kerajaan diambil alih oleh orang lain. (SH 02/05/2012).

Updated: 26 March 2019 — 1:26 pm

1 Comment

Add a Comment
  1. Biar lah si luncai terjun dgn labu nya. PM Najib mungkim tak sempat nak meneraju PRU 13. Byk pemimpin UMNO akan dicantas sebelum pilihan raya. Hanya seorg 'winnable candidate' saja yg mampu mencantas semua dinasour jurasics ini with no heart feeling. Bunga bunga Hassan Marican akan menyeberang tambak johor dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.