Serangan Peribadi Melampau Buat PR Menang Lebih Cemerlang

Sejak akhir-akhir ini UMNO dilihat semakin hilang punca untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Bukan saja masalah dalam negara seperti Himpunan Bersih 3.0 yang menyaksikan kebangkitan rakyat makin menyerlah, perkembangan terbaru kes perbicaraan rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, menjadikan Najib dan UMNO makin semput dibuatnya.

Kes rasuah di Perancis itu bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia  di pentas antarabangsa berikutan Najib, Zahid Hamidi dan Razak Baginda sudah dinamakan sebagai saksi yangakan  dipanggil memberi keterangan tetapi ia juga akan menyebabkan golongan muda, masyarakat bandar dan golongan  profesional makin menolak UMNO dan BN.

UMNO kini hanya boleh bergantung harap kepada rakyat luar bandar dan masyarakat kampung saja untuk mempertahankan kuasanya. Dengan memberi sedikit gula-gula seperti wang tunai RM500 dan dalam masa yang sama dijaja pula keburukan pihak lawan khususnya Anwar Ibrahim, itulah saja talian hayat yang masih ada buat UMNO.

Sebab itu, menjelang hari pengundian dan sebagaimana yang diakui oleh Muhyiddin Yassin bahawa lebih banyak bantuan tunai yang akan diumumkan oleh Najib. Tujuannya untuk mengukuhkan cengkaman di kalangan masyarakat Melayu tradisional yang kurang terdedah kepada maklumat terkini alam maya.

Cara lain Najib dan UMNO mengukuhkan cengkaman ialah dengan mengitar semula serangan isu-isu peribadi yang pernah digunakan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Anwar pada 1998 dulu. Hari ini kelompok yang sama  bertaut kembali dan  ditambah dengan penyertaan mereka yang pernah bersama dalam era reformasi 1998, sedang giat menubuh dan bergerak melalui  pelbagai NGO untuk menyerang dan menghentam Anwar.

Malahan terdapat sebuah NGO yang khusus ditubuhkan atas nama Anwar Ibrahim iaitu TIBAI atau singkatannya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim. Tidak pernah berlaku di mana-mana bahagian di dunia ini sebuah NGO ditubuhkan khusus untuk memburukkan seseorang pemimpin.  Di Mesir dan Libya, meskipun kebencian terhadap Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi begitu meluap suatu ketika dahulu, tetapi tiada NGO yang ditubuhkan sempena nama kedua pemimpin itu.

Ketika rakyat Amerika marah kepada Bill Clinton dan George Bush pun, tiada rakyat Amerika yang menempelak kedua pemimpin tersebut sampai ke tahap menubuhkan NGO yang khusus. Selain kes rasuah Scorpene di Perancis, sekali lagi politik Malaysia mencatat sejarahnya yang unik dan tersendiri.

Serangan yang dilakukan oleh TIBAI, selain serangan yang serupa sudah dilakukan sebelum ini oleh Perkasa, Jati, JMM dan lain-lainnya  tidak lain bertujuan menghakis keyakinan rakyat yang semakin mengukuh terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat. Penubuhan semua NGO ini yang tentunya dalam lingkungan restu dan pengetahuan Najib, mungkin berupaya menghangatkan suhu politik negara tetapi ia tidak akan menguntungkan UMNO dan Najib.

Ini kerana serangan peribadi yang keterlaluan, lebih-lebih lagi yang melakukan serangan itu begitu dikenali dan diragui keikhlasannya, hanya akan menambahkan lagi  simpati rakyat. Dalam beberapa ceramah dan kempen yang dihadiri oleh Anwar, sangat jelas bahawa sambutan rakyat pelbagai kaum  semakin memberangsangkan. Bagi rakyat PRU 13 bukan soal Anwar semata-mata tetapi lebih kepada perlunya untuk perubahan. UMNO  dan BN dilihat sudah terlalu daif dan uzur untuk terus diberi kuasa.

Masyarakat Cina memang diketahui semakin kuat dan yakin dengan Anwar. Keraguan terhadap Pas juga semakin menghilang. Mungkin ada masyarakat Melayu yang masih suka mendengar cerita-cerita seks dan kitar semula mengenai Anwar tetapi bilangan yang mempercayai dan menterjemahkannya kepada undi setelah menghadiri ceramah Perkasa, Jati atau TIBAI mungkin hanya boleh dibilang dengan jari saja. Selebihnya, tidak kira rakyat biasa, di kampung mahu pun di bandar dan termasuk sebahagian ahli UMNO sendiri, apa yang mereka mahukan ialah perubahan.

Selain orang UMNO yang memeriahkan ceramah NGO-NGO itu, kedapatan juga ahli UMNO yang melahirkan rasa mual dan loya dan cerita-cerita seks, lucah dan sumpah seranah yang didendangkan itu. Sudahlah mereka ini dulu pernah menghentam dan memaki hamun UMNO, kini lagaknya mereka  umpama “Superman” yang kononnya mahu menyelamatkan UMNO dan negara pula. Kononnya dengan membawa cerita-cerita seks dan lucah mengenai Anwar, negara dapat diselamatkan.

Kiranya peribadi Anwar terus dihentam secara keterlaluan sementara Pakatan Rakyat pula sentiasa keluar dengan dasar-pdasar yang memberi kebaikan kepada rakyat seperti janji penurunan harga minyak, mengkaji semua tarif letrik, memberi pendidikan percuma dan menghapuskan hutang PTPTN, lambat-laun UMNO akan kelemasan kerananya.

Ini kerana, sementara peribadi pihak lawan ditelanjangkan, skandal dan penyelewengan satu demi satu terdedah di mata umum. Dari skandal lembu, skandal menteri dengan artis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing untuk dijadikan pengundi dan berlonggok skandal lainnya tidak mungkin mampu menutup mata hati rakyat yang semakin cerdik sekarang ini untuk melihat antara kebenaran dan kepalsuan.

Melihat kepada cara politik Najib, beliau nampaknya merestui serangan peribadi yang keterlaluan ini sambil dalam masa yang sama rakyat akan diberikan umpan serta gula-gula tunai dengan harapan mereka akan terus menyokong UMNO serta mengekalkan kerusi Perdana Menteri untuknya. Setelah RM 500, RM200 dan RM100 diberikan, khabarnya ada beberapa program pemberian tunai akan dilakukan lagi. Memang itulah Najib, seperti kata Datuk Arif Sabri Abdul Aziz, bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan yang kini menyertai DAP,  hanya tahu membeli untuk mendapatkan sokongan.

Kewujudan semakin banyak NGO yang ditubuhkan untuk menyelamatkan nyawa politik Najib secara langsung menandakan beliau semakin kelemasan sekarang ini. Lagi lambat diadakan pilihanraya, lagi banyak pekung yang melibatkan UMNO dan para pemimpinnya yang akan terdedah. Selepas Shahrizat dan Shafie Afdal, mungkin lepas ini skandal pemimpin lain pula yang akan terbongkar.

Tindakan Najib mempergunakan NGO-NGO ini untuk menyerang peribadi pihak lawan secara keterlaluan,  akhirnya akan menyebabkan Najib kehilangan semakin banyak undi meskipun mungkin NGO-NGO terbabit semakin meriah menikmati habuan. Selain undi Anwar dan pembangkang makin bertambah kerananya, kewujudan NGO-NGO ini yang terlalu aktif mengampu dan ingin menguasai Najib termasuk melobi dan menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya, secara perlahan akan menyebabkan pemimpin dan ahli  UMNO  sendiri sama ada  di peringkat bahagian dan cawangan mulai menjauhkan diri.

Akibatnya apabila tiba waktu untuk ke medan perang, seperti kata Tun Daim, Najib akan menjadi seperti Jeneral yang kekurangan askar. (SH 23/04/2012)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:26 pm
Subscribe
Notify of
guest

4 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
24 April 2012 2:55 pm

Bersih 3 sekiranya tidak banyak perubahan lambat laun dituntut menjadi suatu pengorbanan besar dari rakyat utk menuntut sebuah keadilan dan kebenaran yang sejatidengan pertambahan mendadak pengundi import dan pengundi hantu nampak gaya kestabilan dan hak rakyat sebenar malaysia sudah tidak dipedulikan lagi semata mata demi kuasajika kita sayangkan negara pengorbanan wajib dibuat melihat kpd pemerintah dan pemimpin mereka rela lihat negara ini huru hara dari mengadakan pilihanraya yg bersih adil dan saksamaUtk diluar sana hendaklah sedia maklum dan wajib mengetahui akan tiadanya suatu pilihanraya yang bersih kadang kadang perubahan yg hendak dilaungkan akhirnya tak semestinya melalui pilihanraya yg bersih yg… Read more »

Anonymous
Anonymous
24 April 2012 12:20 pm

Tuan Shahbudin, Tidak dinafikan bahawa parti UMNO bimbingan Najb ini seumpama telur di hujung tanduk. Dari pemerhatian saya sendiri sebagai seorang yang sentiasa bergerak ke seluruh negara dan bertemu berbagai golongan dan peringkat rakyat, jelas rata rata mereka hilang kepercayaan kepada parti ini. Jadi tidaklah menghairankan bila kita melihat kian banyak kes2 tindak balas ala samseng, biadap dan tidak bermoral pihak UMNO BN ini bagi mengekang kebangkitan suara majoriti rakyat dibawah payung PR. Ini adalah bukti jelas UMNO BN tersepit dan terdesak. Penubuhan NGO terbaru bernama "TIBAI" adalah semata2 untuk membunuk karektor Anwar iaitu pemimpin yang bertanggung jawab uang berjaya… Read more »

Anonymous
Anonymous
24 April 2012 3:39 am

Sdr penulis, Saya sangat menghargai usaha saudara serta rakan2 blogger lain yang prihatin terhadap permasalahan negara dibawah pimpinan UMNO BN yang diterajui Najib. Sekali pun saya adalah ahli UMNO sebagaimana saudara namun tidak sedikit pun dijiwa dan hati saya menyayangi parti ini serta pimpinannya. Sejak 1985 hati saya telah mulai berdetik dan hilang percaya terhadap corak pimpinan para melayu UMNO selepas beberapa tahun UMNO asal bertukar ke UMNO Baru hasil kerja Mahathir. Situasi politik negara masa kini semakin berundur ke belakang, UMNO BN ketara sekali mengamalkan demokrasi primitif ala "mafia" dengan memanipulasi segala bentuk jentera dan institusi kerajaan yang penting… Read more »

Anonymous
Anonymous
23 April 2012 4:19 pm

Tuan, Kita tidak heran dengan pelbagai NGO yang dibuat oleh puak-puak UMNO Baru untuk memburukkan pemimpin dan kerajaan Pakatan. Yang kita nampak, dalang-dalang yang mengepalai NGO-NGO ini adalah individu-individu yang sama. Kerana terlalu banyak tindakan-tindakan yang kurang cerdik puak-puak ini, kita sudah lali dan telah pandai untuk ignore mereka. 2. Lately, tindakan-tindakan ini menjadi terlalu dan semakin "bodoh" seperti menubuhkan "TIBAI", menyerang/membuat kacau di ceramah Pakatan. Ini secara langsung memberi publisiti percuma kepada Pakatan sebagai pihak yang diainayai oleh UMNO Baru/BN. Ini menarik sedikit sebanyak sokongan simpati dari pengundi-pengundi atas pagar. 3. Isu kesamsengan dan aksi-aksi bodoh puak-puak UMNO ini… Read more »