Selepas BR1M Dan Durian Runtuh Peneroka, Rakyat ‘Dirasuah’ Duit Raya Pula…

Bilakah tarikh pilihanraya? Bolehkah UMNO menang kali ini? Ini adalah dua soalan paling popular jika kita bertemu dengan sesiapa saja sekarang ini. Pertanyaan mengenai tarikh pilihanraya dan sama ada UMNO boleh terus menang atau tidak, bukan lagi ditanya oleh mereka yang terlibat dalam politik atau oleh ahli mana-mana parti politik sahaja malahan rakyat biasa yang selama ini tidak begitu kisah mengenai politik dan pilihanraya pun, turut juga menanya soalan yang sama.

Maknanya, semakin ramai sekarang ini yang mula prihatin tentang perkembangan semasa dalam negara.

Dengan kekuatan yang hampir seimbang antara PR dengan BN dan Anwar pula semakin ligat mengasak Najib, naluri ingin tahu rakyat juga bertambah seiring dengannya. Ada yang selesa dengan UMNO dan BN tetapi makin ramai yang mahukan perubahan. Sementara Najib dengan program transformasi dan pemberian gula-gula politiknya untuk rakyat membuat penilaian, Anwar pula tampil dengan tawaran demi tawaran untuk rakyat sekiranya PR menang pilihanraya dan berjaya menubuhkan kerajaan.

Jika sebelum ini Anwar menjanjikan penurunan harga minyak, kajian semula tarif elektrik dan penghapusan tol di semua lebuhraya, terbaru ini beliau tampil lagi dengan tawaran yang lebih menarik terutamanya bagi generasi muda iaitu penghapusan hutang PTPTN.

Najib yang memang dikenali suka membeli sokongan sejak berkecimpung dalam politik, selain program transformasi politik dan kerajaannya, juga turut melakukan pemberian wang tunai kepada rakyat melalui BR1M bernilai RM500 serta RM200 dan RM100 untuk penuntut universiti dan pelajar sekolah.

Pemberian itu walaupun dikatakan untuk meringankan beban rakyat, ia tetap bermotifkan politik kerana pilihanraya hampir tiba. Sesetengah pihak pula menganggapnya sebagai rasuah politik.

Pemberian wang tunai kepada rakyat sebagaimana yang dilakukan Najib ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Mungkin ini sebahagian transformasi yang mahu diperkenalkan oleh Najib.

Tidak cukup dengan itu, Najib juga menjanjikan durian runtuh kepada para peneroka Felda berikutan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) ke Bursa Malaysia yang dijangka Jun ini. Dengan menggunakan istilah durian runtuh, ia juga tentunya dalam bentuk wang tunai atau saham yang boleh dijual untuk memperolehi tunai.

Sekali lagi Najib melakukan tindakan membeli sokongan – kali ini kepada peneroka Felda pula.

Undi peneroka Felda amat penting kepada survival politik Najib dan UMNO. Ini kerana terdapat 56 kawasan Parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda dan Najib memang banyak bergantung harap kepada undi peneroka untuk mengekalkan kuasanya.

Dalam PRU 2008, daripada 56 kawasan Parlimen yang ada Felda, UMNO dan BN berjaya memenangi 52 daripadanya manakala 4 kawasan lagi dimenangi oleh Pas iaitu di Kedah. Menyenaraikan FGV ke Bursa Malaysia bagi membolehkan durian runtuh diagih-agihkan kepada peneroka amat penting bagi Najib bagi mempertahankan sekurang-kurangnya 52 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Najib tentunya menyedari jika PR berjaya menambah kemenangan di kerusi yang ada Felda daripada 4 kerusi kepada 10 atau 15 kerusi, ia sesuatu yang amat merbahaya kepada UMNO dan BN. Sebab itu menyenaraikan FGV dan memberi durian runtuh akan terus diperjuangkan.

Sepatutnya FGV disenaraikan April ini tetapi berikutan adanya bantahan dan beberapa tindakan mahkamah, ia tertangguh kepada Jun. Jika FGV berjaya dibawa ke Bursa Malaysia Jun ini, bermakna pilihanraya akan diadakan selepas Hari Raya iaitu bulan September.

Tahun ini umat Islam akan mula berpuasa pada 21 Julai. Jika FGV disenaraikan pada bulan Jun, bermakna para peneroka Felda akan menikmati durian runtuh dan mempunyai wang tunai yang banyak untuk menyambut bulan puasa dan meraikan sambutan Hari Raya. Peneroka tentunya amat berterima kasih kepada Najib.

Dalam masa yang sama, oleh kerana para peneroka sudah mendapat durian runtuh menjelang puasa dan sambutan Hari Raya, Najib juga dijangka akan sekali lagi bersikap pemurah kepada rakyat. Selepas memberi RM500 melalui BR1M, Najib kali ini dijangka akan memberikan bantuan tunai kepada rakyat untuk menyambut puasa dan Hari Raya pula.

Jika sebelum ini jumlah tunai yang diberi hanya RM500, jumlah wang yang diberi untuk menyambut puasa dan Hari Raya mungkin lebih besar jumlahnya. Mungkin RM1000 setiap keluarga. Meskipun bantuan tunai yang diberi sebelum ini tidak diketahui kesan sebenarnya tetapi Najib amat gembira kerana pemberian itu diterima baik oleh semua rakyat,termasuk orang Pas, Pkr dan DAP. Najib merasakan ini suatu kejayaan baginya.

Sekali lagi, pemberian tunai untuk membeli sokongan dilakukan.

Dengan memberi duit untuk rakyat menyambut puasa dan Hari Raya, selain peneroka sudah mendapat durian runtuh, Najib mengharapkan ia mampu menyaingi tawaran-tawaran yang dibuat oleh Anwar dan PR sebelum ini seperti janji penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas mengambil alih Putrajaya, kajian semula tarif elektrik, penghapusan tol dan terbaru, melupuskan hutang PTPTN yang mendapat respon begitu baik daripada rakyat terutamana generasi muda.

Kerana itu kebarangkalian pilihanraya akan diadakan pada September amat kuat sekarang ini.

Meskipun negara seperti ketiadaan wang, tetapi Najib hampir tiada pilihan lain ketika ini untuk bersaing dengan Anwar. Dari segi kempen, Anwar dilihat jauh mendahului. Dengan gaya santai dan turun bertentang mata dengan khalayak ramai ketika berucap dan mirip sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Barack Obama ketika kempen pilihanraya Presiden Amerika dahulu, sementara Najib masih kaku menjerit di atas pentas, geraf Anwar ternyata melonjak dengan baik akhir-akhir ini.

Selain tampil dengan gaya yang lebih menyentuh hati itu, setiap tawaran yang dibuatnya seperti penurunan harga minyak, mengkaji semula tarif elektrik, penghapusan tol dan melupuskan hutang PTPTN, ia juga diiringi dengan pelan perancangan bagaimana kaedah tawaran itu mampu dilakukan tanpa membebankan rakyat. Ini sekaligus berjaya menimbulkan keyakinan kepada rakyat yang semakin hari dibebankan dengan peningkatan kos hidup yang makin ketara.

Najib pula akhir-akhir ini seperti kehilangan punca untuk menjawab segala tawaran Anwar terutama berkaitan isu PTPTN. Semua jawapannya serba tidak kena dan angka yang disebutnya juga tidak mengena.

Pilihan yang Najib boleh lakukan ketika ini hanyalah membeli sokongan walaupun mungkin terpaksa mengorek tabung KWSP atau Petronas lagi untuk melaksanakan pemberian tunai yang dirancangkan itu. Mungkin juga terpaksa menebalkan muda meminjam daripada Bank Dunia atau mana-mana tabung kewangan antarabangsa. Yang penting, Najib mahu menang. (SH 12/04/2012).

Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 1:26 pm

2
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
mr edztimor Recent comment authors

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
newest oldest
Notify of
mr edz
Guest
mr edz

macam mana isa samad boleh jadi pengerusi walaupun tak layak?

timor
Guest
timor

Duit raya?
Meleleh airliur gombakstar menunggu raya tiba!