Felda: Sebelum Peneroka Untung, Kroni Najib Untung Dulu…

Sudah banyak yang ditulis dan diulas mengenai hasrat Perdana Menteri mahu menyenaraikan Felda Global Venture atau FGV ke Bursa Malaysia. Mereka yang bercakap tentang pro dan kontranya juga sudah banyak. Hakikat bahawa penyenaraian FGV itu sama ada membawa keuntungan atau kerugian kepada masa depan peneroka juga sudah boleh diagak sebenarnya jika diteliti kesemua pandangan-pandangan itu. Pihak mana yang untung juga sudah boleh diramal.

Menyenaraikan FGV yang mengakibatkan tanah peneroka dipajak mungkin saja memberi keuntungan jangka pendek tetapi kerugian dalam jangka panjang kepada para peneroka. Mungkin juga untung jangka panjang dan rugi jangka pendek. Atau mungkin juga untung dalam jangka pendek dan panjang dan tidak mustahil juga rugi di kedua-dua jangka pendek dan jangka panjang.

Apabila FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, ia sudah menjadi menjadi entiti perniagaan yang sentiasa terdedah kepada untung rugi. Apatah lagi dengan kedudukan FGV sebagai sebuah syarikat yang besar dan menjadi perhatian, ia juga akan terdedah kepada spekulasi tentang turun naik harga saham-sahamnya yang diniagakan di Bursa Malaysia itu.

Kadang-kadang dalam dalam usaha mengaut keuntungan, faktor spekulasi lebih menjadi keutamaan daripada realiti sebenar perniagaan yang dijalankan. Selalunya, akan ada kelompok yang bertindak “memasak” dan “menggoreng” tentang pelbagai perkara spekulasi berkaitan urusniasa mengenai sesebuah syarikat itu supaya saham-saham yang diniagakan menjadi perhatian dan melambung harganya di pasaran. Apabila harga melambung, mereka akan menjual dan mengaut keuntungan berganda hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Golongan ini juga boleh menyebabkan harga saham sesebuah syarikat itu menjunam jatuh. Mereka menjual dan membeli saham adalah berdasarkan turun naik harga di pasaran.

FGV juga akhirnya akan terdedah kepada perkara ini. Meskipun sudah pelbagai perkara berlaku dalam proses penyenaraian FGV ini termasuk menggunakan proses mahkamah untuk menghalang Mesyuarat Agung Koperasi Peneroka Felda atau KPF, Najib dan Felda nampaknya tetap berkeras mahu juga membawa FGV ke Bursa Malaysia.

Selain sebuah syarikat tujuan khas mungkin akan digunakan bagi tujuan itu setelah KPF tidak dapat digunakan untuk proses penyenaraian itu, Najib sendiri berulang kali menyatakan tentang keuntungan yang bakal diperolehi jika FGV itu disenaraikan di Bursa Malaysia. Najib dilaporkan pernah berkata dengan saham-saham yang akan dimiliki oleh peneroka, mereka akan mendapat durian runtuh daripadanya.

Nampaknya Najib tetap bertegas untuk menyenaraikan juga FGV ini walau dengan apa cara sekali pun dengan memberi umpan durian runtuh yang bakal dinikmati oleh para peneroka. Rungutan dan pandangan pelbagai pihak tentang kerugian jangka panjang atau jangka pendek akibat penyenaraian itu langsung tidak dihiraukan.

Soalnya benarkah peneroka akan benar-benar untung?

Walaupun Najib dan Felda berulangkai menyatakan tentang keuntungan dan durian runtuh yang bakal dinikmati oleh para peneroka akibat penyenaraian itu, hakikatnya apabila FGV disenaraikan, para peneroka akan mendapat sejumlah kecil lot saham sahaja. Mungkin 10 atau 20 lot saham. Kalau bernasib baik mungkin mencecah 50 lot saham. Kalau perniagaan berjalan dengan baik dan harga saham meningkat, mereka akan menikmati dividen tahunan daripada saham-saham yang dipegang itu. Itulah keuntungannya dan itulah yang cuba digambarkan selama ini. Tetapi bagaimana kalau perniagaan rugi dan harga saham menjunam jatuh. Apa yang peneroka dapat?

Selama ini tidak pernah ada mana-mana pihak termasuk Najib sendiri bercakap soal rugi dan jatuhnya harga saham ini sedangkan apabila menjadi entiti perniagaan, itulah perkara lumrah yang akan berlaku kepada FGV. Tiada jaminan FGV akan sentiasa untung. Peneroka juga tidak lagi sentiasa mendapat untung mahu pun durian runtuh.

Lebih malang, dalam dalam kes FGV ini, apabila harga sahamnya meningkat, kebarangkalian untuk peneroka menjual saham untuk mendapatkan wang tunai adalah amat besar kerana mereka adalah golongan yang miskin dan masih memerlukan banyak wang untuk pelbagai keghairahan hidup. Mula-mula mungkin hanya jual 1 atau 2 lot saham, tetapi apabila harga meningkat lagi, mustahil peneroka tidak terus menjual saham mereka. Akhirnya saham habis dijual dan tidak ada apa-apa lagi yang tinggal.

Risiko memiliki saham yang mudah dijual beli memang lebih merbahaya daripada mengekalkan hak milik tanah yang mungkin boleh diwarisi turun-temurun dari generasi ke generasi.

Rasanya kebimbangan yang diluahkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bahawa penyenaraian FGV adalah suatu langkah yang merbahaya adalah bermaksud demikian. Beliau tidak mahu akhirnya peneroka tidak memiliki apa-apa lagi. Sebagai orang kepercayaan Tun Abdul Razak ketika Felda ditubuhkan dan barangkali sama-sama menyumbang idea kepada penubuhan Felda itu, Ku Li tentunya dapat merasakan bahawa masa depan anak cucu peneroka tidak terjamin lagi dengan membawanya ke Bursa Malaysia.

Itu cerita kalau saham FGV naik harga. Bagaimana pula kalau sahamnya tidak naik dan terus jatuh. Sudah tentunya para peneroka akan menjadi marah dan menghentam kerajaan kerana sudahlah tanah mereka dipajakkan, keuntungan yang diharapkan pula tidak kunjung tiba.

Tidak dapat tidak, penyenaraiaan FGV ini amat mendedahkan kepada kerugian daripada keuntungan sebenarnya. Kalau harga naik, pemilikan tanah mungkin terlepas, kalau harga jatuh, kerajaan akan jadi sasaran.

Selain itu, melalui penyenaraian FGV itu juga pastinya menyebabkan beberapa kelompok mereka yang rapat atau dikenali sebagai kroni Najib akan turut diperuntukkan saham-saham tersebut. Di samping para peneroka, badan-badan seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan lain-lain badan amanah yang biasanya akan diperuntukkan saham-saham itu, kalangan yang rapat dengan pemimpin atasan juga akan mendapat limpahan daripadanya.

Katalah beberapa orang daripada kalangan yang rapat dengan Najib diperuntukkan sejumlah 5 peratus atau 10 peratus saham FGV, tentunya mereka ini akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Itu belum lagi dikira berapa ramai kalangan kroni Najib yang mungkin dianugerahkan 100 lot atau 500 lot saham saham FGV itu. Beberapa ketua UMNO Bahagian yang rapat dengan Najib juga mungkin akan memperolehi sama.

Berbanding mereka yang dikenali sebagai kroni Najib ini yang mungkin memperolehi 5 peratus, 10 peratus atau 100 mahupun 500 lot saham FGV, mereka tentunya lebih jauh beruntung daripada para peneroka yang mungkin hanya mendapat 10,20 ataupun 50 lot saham sahaja.

Dengan saiz syarikat seperti FGV ini, pemilikan 1 peratus sahamnya saja mungkin sudah bernilai puluhan juta ringgit.

Hakikat yang sukar dinafikan dan memang menjadi amalan biasa dalam proses penyenaraian saham ialah disebalik membawa FGV ini ke Bursa Malaysia, akan ada kelompok lain yang lebih dulu dan lebih besar kawah keuntungan yang mereka kaut daripada para peneroka sendiri. Para peneroka yang selama bertahun-tahun memerah keringat berbudi pada tanah Felda hanya akan mendapat keuntungan yang sedikit berbanding mereka yang dekat dengan puncak kuasa yang tidak perlu mengeluarkan setitik peluh pun untuk menjadi jutawan segera dalam sekelip mata sahaja. (SH 26/02/2012)

Updated: 26 March 2019 — 1:26 pm

1 Comment

Add a Comment
  1. Tuan,

    Nampaknya Najib begitu bernafsu untuk mengapung saham FGV. Tidakkah dia tahu bahawa itu sahaja asset yang dimiliki oleh peneroka felda yang rata-rata adalah orang melayu.

    cerita indah, untung berganda-ganda oleh pihak UBN ni bukan cerita baru. Sejak dar zaman Mahathir lagi kita dengar. pelbagai cerita. Akhirnya semuanya hancur lebur.

    Sekiranya ceritanya begitu menakjubkan, Najib sepatutnya tidak main sorok-sorok tangan. dia sepatutnya publish secara meluas rancangan penyenaraian ini bersekali dengan figures. Biar telus dan semua boleh membuat keputusan dengan bijak.

    2. dari cara Najib & co handle masalah ini, tidak dapat tidak ramai akan beranggapan betapa rakus dan viciousnya nafsu serakah mereka-mereka ini…dasyat…kalau boleh disamakan mungkin boleh disamakan dengan peristiwa mai lai semasa perang vietnam dulu atau killing field.

    tapi why am am not surprised? itulah UMNO baru from the very 1st day ditubuhkan dulu. dari 1st day ia adalah about merompak, mengekalkan kuasa untuk merompak, untuk menipu dan menjual orang melayu agar dapat merompak.

    bat8

Leave a Reply

Your email address will not be published.