Sabotaj Parti – Isteri, Suami Dan Anak Pemimpin Juga Patut Diambil Tindakan

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru dilaporkan telah bersetuju untuk menggerakkan Jawatankuasa Disiplin parti lebih awal terhadap ahli-ahli UMNO yang didapati mensabotaj parti sehingga memungkinkan harapan untuk mencapai kemenangan dalam PRU 13 hanya tinggal impian.

Najib selaku Presiden UMNO dilaporkan mahukan tindakan proaktif itu diambil kerana tidak mahu tindakan disiplin hanya diambil setelah parti menerima kesan daripada tindakan sabotaj itu.

Antara kriteria awal yang disebut untuk diambil tindakan ialah mereka yang mensabotaj parti kerana tidak dipilih sebagai calon pilihanraya dan mereka yang mengkritik parti secara terbuka. Dan nama Kadir Sheikh Fadzir, seorang bekas menteri yang akhir-akhir ini agak lantang mengkritik Najib dan UMNO turut disebut dalam laporan awal yang akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO.

Terlanjur UMNO ingin bersikap proaktif, elok rasanya Jawatankuasa Disiplin ini benar-benar bersikap proaktif, bertindak menyeluruh dan tidak memilih bulu dalam tindakan yang mahu diambil. Sebagai parti yang besar dan telah lama berkuasa, memang ada macam-macam perkara boleh berlaku dalam UMNO.

Tindakan menegur dan mengkritik parti tidak bermakna mensabotaj parti jika tujuannya untuk kebaikan dan ingin menunjukkan jalan yang lurus kepada pimpinan UMNO yang telah lupa diri. Ini kerana bukan rahsia umum lagi bahawa kebanyakan mereka yang menjadi pemimpin dalam UMNO sudah tersasar daripada perjuangan sebenar lantaran terlalu ghairah memikirkan soal kepentingan peribadi, anak-anak, keluarga dan sebagainya. Perjuangan membela rakyat sudah banyak dilupakan, kalau mereka ingat pun terhadap rakyat hanya lima tahun sekali.

Selepas pilihanraya 2004, Tun Mahathir sendiri lantang mengkritik parti. Beliau malahan berkempen ke seluruh negara mengkritik UMNO dan kepimpinan negara kerana merasakan ada yang salah ketika itu. Oleh kerana keputusan pilihanraya 2004 adalah paling cemerlang dalam sejarah, Tun Mahathir juga menyatakan bahawa kerajaan yang terlalu kuat dan hampir mutlak adalah tidak baik untuk rakyat kerana tidak ada ‘check and balance’.

Tujuan Tun Mahathir jelas untuk memperbaiki parti dan menimbulkan kesedaran rakyat bahawa sebarang perbuatan tidak baik yang dilakukan pemimpin, ia haruslah dibantah mengikut saluran yang mereka ada. Tidak semua orang boleh bercakap terus dengan pemimpin UMNO untuk menyuarakan pandangan dan kritikan, maka mereka gunakanlah saluran yang dirasakan sesuai seperti meluahkan dalam blog, menulis surat terbuka, menulis buku, bercakap dengan media dan sebagainya.

Kemudian apabila piliharaya 2008, UMNO dan BN memperolehi keputusan buruk dan beberapa negeri tumbang, sedikit sebanyak ia adalah kesan daripada kempen, roadshow dan kelantangan Tun Mahathir ketika itu. Beranikah UMNO dan Najib mengatakan bahawa Tun Mahathir juga pernah mensabotaj parti?

Di akhir-akhir ini, sebenarnya bukan sahaja Kadir Sheikh Fadzir yang lantang dan berani mengkritik parti. Ada ramai lagi sebenarnya. Kepada Jawatankuasa Disiplin, kalau mahu mengetahuinya, janganlah duduk di pejabat saja, turunlah ke coffee house, kedai kopi dan tempat orang-orang UMNO selalu berkumpul. Lebih 80 peratus perbualan di tempat-tempat seperti itu adalah kritikan terhadap UMNO dan pemimpin-pemimpin tertentu. Adalah mereka juga dianggap sabotaj parti?

Selain itu, Jawatankuasa Disiplin juga kena turun ke program-program anjuran Pas, DAP dan PKR dan tinjau-tinjaulah berapa ramai ada orang UMNO di situ. Kalau tindakan mahu diambil terhadap Kadir kerana selalu dilihat bersama Anwar dan kerap mengkritik UMNO, ambil juga tindakan terhadap semua kelompok itu.

Selain itu, Jawatankuasa Disiplin juga harus memberikan tafsiran yang lebih luas terhadap makna sabotaj parti. Ia tak seharusnya rigid kepada apa yang dilakukan Kadir Sheikh Fadzir dan beberapa orang yang lantang mengkritik UMNO dan pimpinannya secara terbuka sahaja. Mensabotaj parti bermakna melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan parti dipandang serong dan seterusnya rakyat tidak memberikan undi dalam piliharaya.

Jika tafsiran itu diguna pakai dengan tujuan memberi keadilan kepada semua pihak, maka Jawatankuasa Disiplin jangan lupa untuk bertindak terhadap para isteri, suami dan anak-anak para pemimpin UMNO yang tidak beretika dalam kehidupan seharian dan seterusnya menyebabkan UMNO dipandang serong serta jijik oleh rakyat.

Isteri pemimpin yang bergaya mewah dan berlebih-lebihan secara langsung menjadi perbualan rakyat dan menyebabkan UMNO dipandang serong. Ramai rakyat membenci UMNO dan tidak mahu memberi undi kepada calon-calon UMNO dan BN dalam plihanranya adalah kerana perangai dan karenah isteri-isteri pemimpin yang dianggap tidak bersesuaian itu. Ini bermakna mereka telah mensabotaj parti.

Anak-anak pemimpin UMNO yang berperangai tidak senonoh, suka berpeleseran di kelab-kelab malam dan menunjukkan kemewahan juga menyebabkan UMNO dipandang serong dan boleh menyebabkan kehilangan undi dalam pilihanraya. Maka, mereka juga dianggap telah mensabotaj UMNO.

Suami pemimpin yang menyalahgunakan kedudukan isteri sebagai pemimpin dengan memperolehi pelbagai projek kerajaan secara tidak beretika dan kemudian berbelanja mewah, juga menyebabkan UMNO dipandang serong dan rakyat jadi makin meluat dengan UMNO. Mereka juga dikira telah sabotaj parti.

Jika UMNO dan Jawankuasa Disiplin ingin bertindak dan ikhlas dalam usaha membersihkan parti, mereka inilah yang sepatutnya diambil tindakan terlebih dahulu kerana ianya telah begitu membarah dan menjadi kebencian yang meluap-luap di kalangan rakyat.

Ada berani!!!
(SH 29/01/2012)

Updated: 26 March 2019 — 1:25 pm

1 Comment

Add a Comment
  1. Siapakah agaknya isteri pemimpin yang patut dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO….

Leave a Reply

Your email address will not be published.