Shahrizat Wajar Dibersarakan…

Isu projek lembu atau NFC yang melibatkan Shahrizat Jalil terus hangat diperkatakan di mana-mana. Ia seperti terus menjadi beban kepada Umno dan BN menjelang pilihanraya umum akan datang. Tindakan Najib meminta Shahrizat bercuti selama tiga minggu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan secara telus, walaupun dilihat cukup baik tetapi sebenarnya masih tidak mencukupi.

Pada pandangan rakyat, Shahrizat bukan setakat mesti diberi cuti tetapi harus dibersarakan daripada kerajaan. Najib mesti ada keberanian memintanya meletak jawatan atau memecatnya jika beliau enggan. Sejak isu lembu ini muncul, dengan pelbagai dakwaan muncul seperti pembelian kondo, kereta mewah, perbelanjaan tanpa kawalan, pembelian tanah dan sebagainya, hakikatnya ia semakin menampakkan wajah hodoh Umno dan kerajaan di mata umum.

Sekurang-kurangnya dengan membersarakan Shahrizat ini memperlihatkan keseriusan Najib dan kerajaan menangani isu-isu yang berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. Sebelum ini Shahrizat beria-ia mempertahankan bahawa projek NFC ini adalah milik suaminya dan tiada kena-mengena dengan dirinya sebagai menteri. Namun jika Shahrizat bukan menteri, mungkinkah suaminya memperolehi projek itu, lebih-lebih bukan kepakaran suami dan anak-anaknya dalam bidang penternakan atau pertanian.

Sama ada diakui atau tidak, adalah jelas sedikit-sebanyak penganugerahan projek NFC ini kepada keluarganya ada kaitan dengan kedudukan dan pengaruhnya sebagai menteri juga. Sukar untuk menidakkannya.

Tindakan membersarakan Shahrizat harus juga disusuli dengan tidak memberinya tempat bertanding dalam pilihanraya akan datang. Shahrizat boleh terus kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan berkempen bagi pihak Umno dan BN. Jika beliau diberikan tempat bertanding dalam PRU 13 ini, isu lembu pasti akan menjadi modal modal kepada PR dan dengan pelbagai pendedahan setakat ini, Umno dan BN pasti tidak akan mampu menghadapinya.

Tinjuan umum di merata tempat sekarang ini memperlihatkan isu lembu ini begitu menghakis sokongan rakyat kepada Umno dan BN. Najib sendiri turut terpikul beban besar kerananya. Hanya dengan membersarakan Shahrizat, beban itu dapat dikurangkan.

Dengan Umno dan BN berada dalam kedudukan cukup genting dan mempunyai kekuatan yang hampir seimbang dengan PR, tindakan melengah-lengahkan isu lembu ini hanya menjadikan kedudukan Umno dan BN semakin menghampiri gerbang kekalahan.

Najib harus bertindak pantas dan berani. Ketakutan untuk bertindak berani hanya memungkinkan terbukanya ruang yang lebih luas untuk menyaksikan penolakan rakyat semakin menyerlah. Ini kerana selain isu lembu Shahrizat, Najib, Umno dan BN juga memikul sebeban isu-isu lain seperti beban sara hidup yang meningkat, kenaikan harga barang-barang, AUKU,SBPA, rasuah, salah guna kuasa, kehakiman, boros, ketirisan, persepsi rakyat yang semakin menurun terhadap menteri dan pemimpin Umno serta pelbagai isu lainnya.

Dalam isu Shahrizat ini, Najib sebenarnya tidak ada pilihan lain. Hanya dengan membersarakannya sahaja sekurang-kurangnya beliau dilihat bertegas dan tiada kompromi terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa. Dengannya sahaja Najib akan dilihat mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan rakyat.

Sejak isu lembu ini muncul memang diketahui Najib hanya membisu dan tidak ada mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kerajaan pimpinannya mahu menjalankan siasatan atau mengambil tindakan tegas terhadap Shahrizat. Hanya setelah diberi cuti selama tiga minggu baru-baru ini, barulah suara Najib kedengaran bercakap mengenai isu ini.

Dengan pilihanraya semakin hampir dan semangat rakyat bagaikan melonjak-lonjak untuk melihat berlakunya pertukaran kerajaan, terserah kepada Najib sama ada mahu membiarkan dirinya hanyut bersama arus yang semakin deras atau memasang benteng bagi memperlahankanya, meski untuk memberhentikan arus itu bagaikan mustahil sama-sekali.

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 1:25 pm

1
Leave a Reply

avatar
0 Comment authors
WongMCheng Recent comment authors

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
newest oldest
Notify of
WongMCheng
Guest
WongMCheng

konfemlah…kantoi terang terangan….